"Jom kita ke Kuala Gandah, mandi dengan gajah!".
Seperti biasa saya cuba memberi cadangan dengan harapan diterima.
"Hah...Mandi dengan elephant? Adik nak berenang dengan elephant!"
Husna anak kedua begitu teruja...terus bangun dari tidur walaupun tadi berkali-kali gerak, tak mahu buka mata.
Pagi 1 May 2010 sempena hari Pekerja, lebih kurang 11:30 am kami bertolak ke Kuala Gandah dari Taman Velox Rawang.
Di mana Kuala Gandah Elephant Sanctuary ni?
Terletak berdekatan Lanchang, Temerloh Pahang. Lebih kurang 150KM dari rumah kami di Rawang - mengambil masa lebih kurang 2 jam perjalanan. Kalau dari Gombak lebih kurang 123KM dengan anggaran 1 jam 41 min perjalanan. Untuk peta yang lebih details, bolehlah guna google maps atau bagi yang menggunakan GPS, mencari lokasi ke Kuala Gandah tidaklah sepayah mana.
Secara ringkasnya;
Dari KL, ikut lebuh raya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur
Exit Lanchang, belok kanan dan terus ke Kuala Gandah - lebih kurang 10 KM dari exit Lanchang.
Semakin menghampiri tempat ini, di kiri kanan jalan, ada perkampungan orang asli. Boleh juga menemui mereka di perkarangan tempat letak kereta pengunjung. Ramai yang lepak-lepak sambil melihat pengunjung datang...
Setiba di perkarangan pusat konservasi ini, pemandangan kurang menarik dan berdebu kerana terdapat kerja-kerja naik taraf tempat ini - untuk keselesaan akan datang. Ada kawasan untuk letak kereta tetapi tidak bersistematik. Lebih teruk apabila sudah terlalu banyak kenderaan, kucar-kacir jadinya! Saya berharap keadaan ini adalah untuk sementara, mungkin selepas kerja-kerja pembinaan dan naik taraf selesai, tempat letak kereta ini akan terurus dan memudahkan pengunjung untuk keluar dan masuk. Alangkah baiknya jika ada petugas yang membantu mengawal kesesakan tempat letak kereta ini, macam yang selalu dilakukan oleh 'private parking'.
Oleh kerana kami tiba agak lewat kenalah parking jauh lebih kurang 100m dari pintu masuk. Sebelum melawat, pengunjung perlu mendaftar di pejabat PERHILITAN untuk mendapat PAS. Yang menariknya tiada caj untuk masuk. Tetapi sebarang derma adalah dialu-alukan.
PAS ini pula terbahagi kepadi 2 - A dan B.
Pemegang pas A - tidak boleh mengikuti aktiviti menunggang dan mandi bersama gajah.
Hanya pemegang pas B yang boleh menunggang dan mandi bersama gajah.
Pas-pas ini perlu dilekat di mana-mana bahagian yang mudah dilihat, tampal di tudung ke, baju, handbag mengikut kreativiti anda.
Husna dengan PAS A
Sebelum sampai ke kawasan utama, pihak PERHILITAN menyediakan tempat duduk dan berehat ala-ala taman. Di sini pengunjung boleh berkelah bersama-sama keluarga. Jadi bolehlah membawa makanan, tikar dan yang seumpamanya. Kawasan ini juga teduh kerana dilindungi pokok-pokok yang rendang dan menyejukkan. Kemudahan tandas awam dan bilik persalinan pakaian juga disediakan.
Kelewatan menyebabkan kami tidak berkesempatan untuk menunggang dan mandi kerana aktiviti ini mengikut jadual yang telah ditetapkan. Jika tidak mahu terlepas aktiviti ini, pastikan sampai dan mendaftar sebelum pukul 2 pm. Boleh rujuk jadual bawah yang diambil dari website PERHILITAN.
Masa | Aktiviti |
2.15 petang | MENUNGGANG GAJAH: Pelawat berpeluang menunggang gajah disekitar pusat ini. |
2.30 petang | MANDI GAJAH: Pelawat boleh berenang dan mandi bersama gajah di sungai di bawah pengawasan petugas. |
3.30 petang | MEMBERI MAKANAN: Pelawat boleh membantu memberi makanan kepada gajah seperti pisang, betik dll. |
3.45 petang | VIDEO: Pelawat digalakkan menonton dokumentari mengenai proses pemindahan semula gajah liar. |
Juga waktu operasi:
Hari | Masa |
Isnin – Ahad | 8.00 pagi - 1.00 tengahari 2.30 petang - 4.30 petang |
Jumaat | 8.00 pagi - 12.30 tengahari 2.30 petang - 4.30 petang |
Nasib baik jugalah boleh join sesi memberi makanan. Bolehlah posing dengan gajah-gajah ni. Tapi awas, sambil-sambil makan gajah-gajah ni suka sembur air. Silap-silap boleh basah satu badan. Satu lagi pesanan penting, silalah bawa pakaian extra untuk kes-kes tak sengaja ni walaupun anda sememangnya tak mahu meyertai aktiviti mandi bersama gajah.
Gajah sedang makan batang pisang. Ada juga pengunjung yang memberi epal dan pisang kepada gajah-gajah.
Berhati-hati, gajah suka sembur air!
Boleh bergambar dan pegang gajah. Abah dan kakak berani usap gajah. Nu'man sikecil pun teringin juga!
Pertama kali bergambar paling hampir dengan gajah. Terasa cuak juga!
Seperti tidak puas kerana tidak dapat merasa pengalaman mandi dan menunggang bersama gajah. Kami akan kembali lagi dan pastikan mendaftar sebelum pukul 2 pm. Mungkin lebih OK kalau menginap di kawasan yang berhampiran spt di bandar Temerloh. Hotel Seri Malaysia ada di Temerloh, boleh juga pekena ikan patin masak tempoyak Temerloh! Sodapp....
Highlights
- Aktiviti utama adalah menunggang gajah, mandi gajah, memberi makanan dan video dokumentari.
- Aktiviti bersama gajah bermula pukul 2:15 pm. Perlu sampai dan mendaftar sebelum pukul 2pm supaya tidak terlepas aktiviti istimewa bersama gajah.
- Bawa pakaian ekstra walaupun tidak mahu menyertai aktiviti mandi bersama gajah untuk kes-kes tidak sengaja.
- Boleh membawa makanan dari rumah. Jangan lupa juga membawa tikar atau alas jika tempat duduk yan telah disediakan penuh.
- Selepas melawat gajah, boleh singgah ke Deerland yang terletak berhampiran.
No comments:
Post a Comment